MENGINTAI DI CELAH JENDELA
Wednesday, January 18th, 2006by Faisal Tehrani
Aku sering berahi
pada secangkir kopi somali
sepiring goreng keladi,jelir lidah api
titis embun suci
geletar dedaun kala dinihari
dan mimpi damai seorang pejuang
biarpun ia berakhir dengan igau ngeri
kerana dia gelincir melangkah memilih denai celaka
(manusia mana tiada tersilap atau dipengaruhi prasangka)
moga-moga sejarah meneladi kita.
Langit kelabu di tengahari
petir liar membelah siang
(tak sempat kucapai payung bila hujan turun)
kilat mencalari rindu besar
kerana kerdilnya kita manusia
bisa merancang tetapi bukan pelaksana
kata ayah:
lokap adalah stor menyimpan bencana
kita harus menyerah atau
bersedia ditelanjangi
kerana maruah amat murah
atau memang tiada harga apa-apa
Di hujung pagi
aku terlihat
muara sungai air merumba
jantung pisang ditetak orang
hujan panas gelepar dalam mata
terngiang kobar gagak mengibar kepak
waktu pulang remang senja
merintih meminta keadilan dalam sengsara
maafkan aku perwira
aku bukan manusia berani
sekadar mengintai di celah jendela
kekasihku,
sepatunya hilang di tengah padang
petang 20 September
bunga melor tersisip di bucu telinga
cicir entah ke mana
selendang suteranya carik direnggut orang
tali coli nipis terlurut dicantas pengganas
sampuk ayah:
mahkamah bukan lagi tempat bicara
tetapi medan untuk menghina
kerana manusia biasa
bila mahu mengaku raja
memang buta mata iamnnya
Dosa apakah kita kepada tuhan
tanpa wizurai Portugis tuan belanda
dan residen British
kita masih dipaksa-paksa menelan
apa yang kita tidak rela?
Apakah bangsa sendiri lebih munasabah dimusuhi
dari sekian manusia penjarah.
Di hujung senja
aku terlihat
sayap kelkatu lucut setelah gerimis lenguh berehat
bunga kiambang lerai dari rumpun dalam tasik merah
mahligai sergam di bawah lecak keringat rakyat
hatiku haru diberitahu kekasih cekal dibelasah berdarah
kata ayah lagi:
parlimen bukan tempat
negarawan terbilang bersidang hal-hal marhaen
kerana perut sesama kerabat
yang tidak pernah kenyang
mengaburi mata hati.
Di pangkal siang
kita terjaga mengahrap bahagia sempurna
kita manusia merdeka sudah lelah menjadi hamba
tetapi kita tidak pernah tahu
negara jadi tempat mengumpul pengkhianat
perwira tiada tenaga upaya memelihara
kerana perjuangan demi kebenaran
memang tidak ramai mahu ekor serta
Pulang ke desa,
pesona memerhati gigih petani mengemping di bendang
kucur keringat nelayan memukat di kuala
anak-anak kecil pulang mengaji
dan rimbun pohon-pohon ditinggalkan
membayangi nisan-nisan sepi di kuburan arwah kami
pemimpin tiada lagi mampir
menyeka halaman dengan sapu tangan
kerana harta benda dan bukan kepentingan bangsa
sudah jadi juara di jiwa
Kembali ke kota,
kagumi sibuk penghuni membawa hal diri
atau pengemis menangis tertidur di tepian
pancuran Masjid Negara
pakcik makcik buta tidak henti berhenti menyanyi
waktu manusia dikejar berkejar mengejar
dan ratusan dihambat terhambat
kerana akal tidak daya berfikir
wang gaji seringgit dua
jadi tukaran mengganyang bangsa
tanpa sekelumit belas di jiwa.
Di hujung petang,
aku terlihat
bunga matahari mekar menggamit hiba
kekasih hilang tidak ketemu
dalam sedar api marah manusia bukan mudah
dipadam-padamkan saja sumbunya
ada obor memang tiada jejas oleh hembusan angin taufan
atau pukulan bisa lelaki perkasa
serta fitnah karut berjela-jela.
Mengapa masih ada manusia
sanggup berkorban sia-sia
seperti Tuah akur setia
sedang buruk baik amat ketara
(manusia kata ayah seperti kakatua berbiak merata-rata kalau diasuh dalam sangkarnya)
Lagi-lagi aku bermimpi ngeri:
gedik siamang tua terburai otak
dikerkah peluru besi
gelupar ikan seluang dituba kejam
atau marah unggun api disirami minyak
semua jadi mimpi-mimpi menggangu
Kekasihku hanyut disorong arus
perarakan besar ke Istana Negara 17 Oktober
(mereka merayu kalau-kalau ada kuasa tersisa untuk ditumpangi bermanja)
tetapi bagai muktamad
tiada sesiapa keluar datang membela
kecuali berdoalah,meminta Tuhan turun
menabur inayah-Nya
Di hujung gelita malam
aku terlihat dengkur kucing
di sisi pohon mangga tetangga
pemimpin nyenyak dalam mahligai dikawal tentera
manusia dhaif mengerekot tanpa rumah tanpa tangga
bendera negara lusuh keremot tertimbun ditimpa sampah
kerana manusia sudah ahbis-habis berkira
apa erti ada negara
kalau yang ada tinggal bertiangkah bermusuh
dan tidak ramai mahu berkorban
menjaganya
kecuali bila membahagi-bahagian harta
(negara bila kaya pemimpin bahagia rakyat sengasara,negara bila miskin pemimpin bahagia rakyat sengsara)
Di hujung kelopak fajar
Aku terlihat
kartika tidak lagi mengerdip
di kelangkang langit
sisik awan melindung cahaya bulan
singgah ke bumi
anjing liar menyalak
daun pandan terkuak
butir-butir nasi tidak terjamah
mulut rakyat disumbat semaunya
kata ayah:
dia cuma seorang tua biasa
tidak pernah peduli kanan atau kiri
insan pemimpin yang mengendalikannya
kini dia diajar
tindak tanduk kurang ajar
dan serapah santau berbisa
membuatkan dia berontak geram
menanti masa membalas dendam
(kali ini ayah enggan mensia-sia pillihanraya kalau benarlah di situ masih ada keadilannya)
Aku mengetuk pintu rumah
Dari setiap arah yang ditempuh
bertanya tentang kekasih
andai ada yang melihat
dia diculik dalam ribut
dikasari dalam serabut
di awal malam yang sama
perwira ditahan tanpa bicara
dengan muka luka dan doa anak isterinya
yang ketakutan
sedang musuh negara yang hilang punca
berbuat satu demi satu kesilapan dan dosa
yang sukar diampunkan
Di sini lama aku terkesima
azam perwira ibarat batu telerang
keras berkilat memancar padu
kejahatan menusia terlupa usul
bukan mudah menghakis hati kuartza
kerana melimpah ganas manusia rusuh
di tebing jalanraya
atau sudut-sudut kota
berhimpun di dataran membuku\ dendam
menuntut kebenaran
yang kian lama dipendam
amat mendorong kekebalan sukma
kemudian,
susuku tumpah dari cangkir
membasuh kertas mengembang dakwat
atau buku sejarah terpelanting
di bawah laci usang
kipas angin menggeleng dalam diam
sudahku catit warkah buat kekasih
tetapi acap tidak gamak kuhantar
kerana dia sendiri entah di mana
tidak pasti
kalau mati tidak pernah dipesan orang kuburannya
kalau hidup tidak pernah dimaklum orang kewujudannya
Di mata
dalam mimpi tenghari
aku tergambar rambutan empuk
sayangnya sudak busuk
langit kala itu tidak dinilakandi
tetapi dilihat keruh dari baruh
dan muara sungai kian bergelora
menghempas pada batu
mengaum menerkam mangsa
menemggelamkan semuanya
Aku sudah jemu mendengar cerita nista
atau babak- babak genyi
tentang tilam yang boleh bersuara
atau kamar yang tersembunyi rahsia
seoalh-olah mereka ini lekas benar terlupa
tentang anggota badan manusia
yang nanti akan berkata-kata
tanpa selindung atau celah dan tegah
Yang Arif di mahkamah biasa
Kerana hakim tatkala itu
adalah Maha Tinggi
dan mahkamah masyhar
tidak bisa dibeloti oleh
cerita saksi jalang
atau helah politik berang
tiada mahluk tergamak menunjuk belang
termampu berlagak garang
di situ keadilan bukan fantasi
tetapi pembalasan hakiki
Malam aku dikejutkan
untuk sekian kali
mimpi tentang anggerik belantara
terbual buas dipuput angin subuh
napuh geruh ditokok pak belang
serta timun terluka lebam ditindih
durian hutan
tidak pernah aku mengigau sedahsyat itu
dan malam terlalau panjang tidak mahu berhenti
malah gendala di tengah
memomokan aku
membutakan aku
memasungkan akau
membelasahkan aku
hingga aku parah tidak bermaya
Kekasih masih gagal kujumpa
barangkali dia sendiri sudah berhenti mengahrap
padaku datangmeyelamat dan menbawa pulang
berseloka bertitir bersyair sebelum mata lena
tentang negara dengan keadilan sebenar
negara diwarisi untuk generasi
sedia membeban tanggungjawab
segala kemewahan dikongsi bersama
dan hukum hakam Tuhan ditakhtakan mulia
Kata ayah:
ini masa untuk membabar sejadah
dan menhadap Tuhan
itulah sekadar senjata paling berbahaya
yang ada selain iman dan taqwa
sebagai bekal
kerana kembara mencari kekasih
perjalanan jihad membersih nusa
masih panjang dan tidak terhitung cabarannya
setelah itu dengan jiwa pasrah
ayuh marilah kita keluar bersama-sama
kerana negara seperti kata ayah:
tempat mengumpul pengkhianat
dan kita sahaja masih tinggal tersisa
untuk menyelamatkannya.