endometriosis

Mengenai Endometriosis

Artkel ni diambil dari laman web support grup endo singapore…

Endometriosis (singkatannya ‘endo’) ialah sejenis penyakit yang lazimnya menjejas sistem pembiakan perempuan. Tiada siapa yang tahu dengan pasti akan penyebab endo.
Teori-teori termasuk:

  • disfungsi sistem imun
  • disfungsi hormon
  • toksin sekitaran
  • pradisposisi genetik
  • darah melimpah ke belakang rahim
  • semasa haid dan lain-lain

Oleh kerana sebabnya tidak diketahui dengan pasti, pengubatannya juga tidak dapat dipastikan. Rawatan yang diberikan berusaha meringankan simptom penyakit.
Endo menyerang tidak kira usia, kaum, budaya mahupun lokasi geografi. Seseorang boleh ditimpa endo pada usia yang muda dan penyakitnya mungkin tidak dikesan bertahun-tahun lamanya. Wanita atau gadis yang menghidap endo mungkin mengalami kesakitan yang amat sangat atau mungkin tidak menunjukkan apa-apa simptom dan tidak memerlukan rawatan.

Apakah sebenarnya Endometriosis?

Secara ringkas, endo adalah sel-sel serupa dengan selaput dalam rahim (endometrium) yang tumbuh di bahagian luar rahim. Bahagian yang lazim terjejas ialah pelvis, namun endo juga tumbuh dalam paru-paru, otak, bahkan di lengan dan kaki. Yang paling terjejas di bahagian pelvis ialah:

  • Ovari
  • Tiub Fallopi
  • Permukaan luar rahim
  • Usus
  • Ligamen
  • Pundi kencing

Deposit endo adalah seperti rahim yang sangat kecil. Ia tumbuh dan berdarah setiap bulan. Darah ini terkumpul di bahagian pelvis, menyebabkan lekatan (adhesions), parutan, kesakitan yang semakin teruk dan masalah-masalah lain.
Endo boleh tumbuh di permukaan atau ia boleh menembusi tisu dan organ. Endo diketemui dalam pelbagai warna — hitam, merah, putih, merah jambu, perang, bening. Lihat gambar di http://www.drcook.com/pics.html Ia memerlukan pakar bedah yang mahir dan berpengalaman untuk mengenal pasti pelbagai rupa endo dan cara merawatnya.
Endometrioma ialah sista endometriosis yang tumbuh di ovari. Ia juga dikenali sebagai ’sista coklat’ (chocolate cyst) disebabkan warna darah yang pekat di dalamnya. Sista ini mesti dibuang melalui pembedahan . Jika dibiarkan, ia boleh membesar sehingga ia pecah dan ini boleh menyebabkan kerosakan yang serius.

Apakah simptom-simptom endo?

Sesetengah wanita tidak menunjukkan simptom. Mereka mendapat tahu mereka menghidap endo hanya apabila mereka menjalani pemeriksaan bagi masalah kemandulan. Wanita-wanita lain tahu mereka menghidap endo ekoran kesakitan yang dialami.
Berikut adalah senarai semak ringkas bagi simptom endo:

  • Kesakitan yang amat sangat semasa haid
  • Aliran haid yang banyak dan berpanjangan
  • Kesakitan di bahagian pelvis pada bila-bila masa
  • Kesakitan semasa persetubuhan
  • Kesakitan apabila buang air besar
  • Sakit belakang di bahagian bawah

Ada banyak sebab bagi simptom-simptom di atas, namun dalam 80 peratus kes di mana seseorang wanita berasa sakit di bahagian pelvis, penyebabnya ialah endometriosis. Sila berjumpa doktor jika anda berasa sakit.

Bagaimanakah endo dikenal pasti?

Laparoskopi dilakukan untuk mengetahui sekiranya seseorang wanita menghidap endometriosis. Prosedur ‘lap’ ini dilakukan di bawah anestetik, di mana insisi kecil dibuat di bawah pusat. Pakar bedah menggunakan laparoskop untuk melihat bahagian dalam pelvis. Pakar bedah yang mahir lagi berpengalaman harus menjalankan prosedur ini. Sesetengah tisu endo mungkin tumbuh di bahagian yang sukar dicapai dan mungkin tidak dapat dikesan. Ini bermakna doktor tidak dapat membuat diagnosis bagi sesetengah wanita. Tempoh purata bagi diagnosis daripada permulaan simptom ialah lapan tahun.
‘Endometriosis yang disyaki’ (Suspected Endometriosis) ialah keadaan di mana doktor memeriksa seseorang wanita, mencatat simptomnya dan mungkin melakukan imbasan ultrasound tetapi tidak melakukan ‘lap’. Adalah penting untuk berbincang dengan doktor anda tentang opsyen yang ada sekiranya doktor anda mengesyaki anda menghidap endometriosis.

Bagaimanakah endo dirawat?

Pembedahan:
Endo boleh dirawat semasa laparoskopi diagnostik awal di mana dua insisi kecil tambahan dibuat di bahagian bawah pelvis. Pakar bedah boleh menggunakan peralatan khas, termasuk laser, untuk ‘membakar’ tisu endo yang dapat dicapai.
Jika keadaan endo tersebut amat teruk, pakar bedah mungkin perlu melakukan laparotomi di mana insisi yang lebih besar dibuat di bahagian bawah pelvis untuk membolehkan pakar bedah mencapai bahagian abdomen bagi melakukan pembedahan.

Pengubatan:
Selepas pembedahan, doktor mungkin memprekripsikan ubat bagi beberapa bulan untuk menghentikan haid pesakit atau mengurangkan aliran haid.
Ubat-ubatan yang lazim digunakan dalam rawatan ialah:

  • Agonis GnRH, misalnya Zoladex, Synarel
  • Testosteron, misalnya Danol (Danazol, Danocrine), Dimetrose (Gestrione)
  • Progesteron, misalnya Duphaston, Provera, Primulot
  • Pil Perancang Keluarga (BCP), ataupun gegelung (coil), misalnya Mirena Coil

Kesemua ubat di atas merupakan rawatan hormon dan mempunyai pelbagai kesan sampingan.

Terapi Semula jadi
Kebanyakan wanita mendapati mereka boleh memperbaiki keadaan mereka dengan menukar diet, mengawal sekitaran serta mengurangkan tekanan mereka, dan menggunakan terapi alternatif atau yang saling melengkapi seperti akupunktur, urutan dan homeopati.

Siapakah yang boleh terkena Endometriosis?

Kebanyakan wanita dan gadis yang menghidap endo diserang penyakit ini dalam linkungan umur boleh mengandung.

Endo dan kemurungan

Endometriosis boleh menyebabkan masalah psikologi kerana ia merupakan pengalaman yang amat traumatik dari pelbagai segi:

  • Kesakitan dan penderitaan ekoran penyakit yang dihidapi
  • Tidak dapat menyertai kegiatan sosial disebabkan kesakitan atau pendarahan yang banyak
  • Rasa lemah, penat dan sukar tidur kerana kesakitan
  • Kurang pemahaman tentang penyakit yang dihidapi dari pihak doktor, keluarga, teman dan diri sendiri
  • Pemulihan daripada pembedahan dan anestetik am
  • Kesan sampingan ubat, termasuk berat badan bertambah, perasaan tidak menentu (mood swings)
  • Kerisauan disebabkan kos perubatan dan kos pembedahan yang tinggi
  • Rasa sedih dan kehilangan disebabkan keguguran
  • Masalah rumah tangga disebabkan kesakitan semasa persetubuhan, tidak boleh mengandung dan banyak lagi
  • Tekanan prahaid
  • Rasa kecewa kerana gagal mencapai matlamat hidup dan jangkaan kerjaya

Wanita yang menghidap endo mungkin mengharungi hidup dengan rasa harga diri yang rendah, tersisih, marah, kecewa, duka mahupun rasa bersalah dan banyak lagi. Kebanyakan daripada masalah ini dapat diatasi dengan mempelajari tentang endometriosis. Apabila anda tahu bahawa anda tidak patut dipersalahkan, anda akan belajar untuk menyayangi diri anda dengan sewajarnya.

Adenomiosis

Adakalanya dikenali sebagai endometriosis dalaman, adenomiosis berlaku apabila tisu endometrium tumbuh pada dinding atau otot rahim. Pembedahan sukar dilakukan dan ubat hanya berkesan selagi pesakit memakannya. Sebaik sahaja ia berhenti memakan ubat, simptom penyakit akan kembali, kadangkala dalam masa satu kitaran haid.
Adenomiosis boleh menyebabkan pendarahan yang banyak dan berpanjangan, darah beku, kesakitan dan rahim yang membesar sehingga atau melebihi saiz kandungan berusia enam bulan.

Histerektomi

Histerektomi bukanlah pengubatan terjamin bagi endometriosis kerana haid hanyalah salah satu faktor penyebab endo. Oleh kerana hormon estrogen merangsang pertumbuhan endo, Terapi Gantian Hormon (HRT) boleh menyebabkan endo berulang kerana HRT mengembalikan estrogen ke dalam tubuh wanita sebaik sahaja ovarinya berhenti berfungsi atau sudah dibuang. Doktor akan cuba mencegah endo daripada berulang dengan memberikan HRT dalam dos yang kecil. Namun bagi sesetengah wanita, dos yang kecil adalah cukup untuk mengaktifkan semula penyakit ini.
Histerektomi mungkin menolong sesetengah wanita tetapi tidak semua wanita. Tiada siapa yang boleh mengatakan siapa atau berapa ramai yang tergolong dalam kategori yang mana atau mengapa.

2 Responses to “endometriosis”

  1. hanem Says:

    sabar..setiap yang berlaku ada hikmah disebaliknya..insyaallah

  2. enigma Says:

    sabar la wahai wanita…

Leave a Reply